Khamis, 23 September 2010

Gambar 'FACEBOOK' Jadi Barang Sihir..

Salam..

Perkongsian ini mungkin memberi nilai buat kita semua. Pernah satu ketika, saya dipanggil untuk merawat seorang perempuan yang sedang kerasukan. Tanpa membuang masa, selepas memagar pesakit dengan teknik 'Yaasiin 4 Penjuru' jin jadi semakin agresif. Pembakaran demi pembakaran, akhirnya, ketua jin muncul. Soalan demi soalan ditanyakan, akhirnya jin mengakui sesuatu ketika saya meminta jin tersebut mengambil barang sihir. Amat memeranjatkan saya dan pembantu serta muslimah-muslimah yang hadir melihat rawatan itu, apabila ketua jin mengakui bahawa barang sihir itu adalah gambar yang diambil daripada laman 'FACEBOOK!'.

Saya kemudiannya meminta jin tinggalkan tubuh itu. Rawatan terhenti di situ, kerana ibu bapa penjaga datang mengambil pesakit untuk melakukan rawatan di kampung halaman. Semoga Allah menyembuhkan pesakit itu.

Semoga pembaca budiman, mengambil iktibar daripada pengalaman yang tertulis ringkas ini. Berhati-hati memuat naik gambar ke laman web, terutamanya 'FACEBOOK'. Moga Allah melindungi kita daripada bisikan syaitan laknatullah. Moga pembaca diramati Allah S.W.T.

Selasa, 21 September 2010

Ketua Jin Sihir Berpindah ke Rumah baru

Assalammualaikum wbt..

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi pengalaman dua hari lepas ketika merawat seorang pesakit di sebuah kolej kediaman yang berdekatan. Pesakit ini pernah mendapatkan rawatan daripada saya awal semester yang lepas. Namun selepas itu, pesakit dirawat oleh rakan perawat. Kebetulan pada hari itu, rakan perawat ada urusan yang tidak dapat dielakkan, oleh sebab itu, saya mengambil seketika tugas merawat di kolej berkenaan.

Ketika kaki melangkah masuk ke bilik rawatan (surau), pesakit telah pun kerasukan. Ini memudahkan tugas saya. Saya memulakan dialog dengan jin yang merasuk pesakit, ternyata dia adalah jin sihir yang dihantar oleh seseorang. Tanpa membuang masa, saya meminta jin tersebut memanggil ketua jin. Jin berdegil, sebatan demi sebatan, pembakaran demi pembakaran membuatkan anak buah jin kesakitan. Namun, masih berdegil untuk tidak memanggil ketua jin. Saya berhenti sebentar, kemudian mendapat ilham, saya menggunakan teknik 'hiris jin'. Alhamdulillah, kali ini ketua jin keluar, apa tidaknya, saya niatkan bahawa hirisan itu untuk semua jin sihir termasuk ketua jin yang ada. Selepas hirisan yang pertama, ketua jin muncul.

Tidak banyak pertanyaan yang saya ajukan, saya menawarkan agama Islam kepada jin, tetapi jin berdegil. Kemudian saya mengugut ketua jin dengan sebatan dan hirisan, ketua jin ketakutan. Kemudian saya menyuruh ketua jin pulang semula kepada tuan mereka, tetapi ketua jin enggan berbuat demikian kerana takut mendapat siksaan daripada tuan mereka.

Sejurus kemudian, saya menawarkan sebuah rumah baru, yang mana ketua jin dan konco-konconya boleh tinggaldan tidak dapat diseru lagi oleh tuan mereka. Alhamdulillah, tawaran itu diterima oleh ketua jin. Saya memohon pada Allah agar diberikan sebuah rumah kepada ketua jin. Sebelum ketua jin dan konconya keluar, saya berdoa kepada Allah agar jin yang dicederakan tadi disembuhkan semula dan memohon pada Allah agar telinga jin di pekakkan agar jin tidak lagi mendengar bacaan mantera yang boleh meyeru ketua jin dan anak-anak buahnya. Alhamdulillah, ketua jin bersama anak-anak buahnya keluar melalui jari tangan. Pesakit rebah, sebentar kemudian sedar semula.

wallahu'alam.

Tapak Tangan Berangin

Assalammualaikum wbt.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T., kerana memberi saya sedikit kesempatan untuk menambah cerita pengalaman rawatan di ruangan ini. Pada minggu lepas, saya berkesempatan merawat seorang pesakit di salah sebuah kawasan taman perumahan berhampiran kolej kediaman saya.

Sebenarnya, saya merawat pesakit lebih awal, tetapi memandangkan saya mempunyai sedikit urusan di Kuala Lumpur saya terpaksa menangguh rawatan ke hari berikutnya. Alhamdulillah, pada hari berikutnya, saya bertandang ke rumah pesakit di atas permintaan pesakit. Saya bersama dua orang lagi sahabat turut bersama-sama menemani dan membantu ketika sesi rawatan dijalankan.

Seperti biasa, saya akan bertanya keadaan pesakit,tanda-tanda gangguan dan memulakan 'scan' jika disyaki memiliki tnda gangguan (sebelum 'scan' saya meminta pesakit membaca ikrar pemutus). Pesakit sebenarnya telah lama mendapat gangguan, dan pernah melakukan rawatan sebelum ini. Namun, kesembuhan itu milik Allah, pesakit masih menerima ujian demi ujian. Saya menggunakan teknik '1881' yang telah dipelajari daripada AKRINE satu masa dulu. Kaedah ini berkesan, memang terdapat tanda-tanda gangguan yang jelas. Saya meneruskan dengan 'scan; tapak tangan. Apabila saya membacakan ayat suci pada tangan kemudian meminta pesakit melihat tapak tangan itu, pesakit seakan-akan mengelak, kemudian saya bertanya sama ada pesakit terlihat sesuatu atau tidak. Pesakit menjawab 'tiada', tetapi pesakit memberitahu bahawa dia merasakan seperti ada tiupan angin yang bertiup daripada tapak tangan saya membuatkan dia mengelak daripada tiupan itu.

Namun, sebentar kemudian, tanda-tanda itu hilang, saya tidak berputus asa dan meminta sahabat melaungkan azan kepada pesakit, sebentar kemudian, saya meletakkan tangan di atas kepala pesakit. Pesakit dengan tiba-tiba ingin muntah ketika ruqyah dibacakan. Pesakit muntah, namun sedikit sahaja.

Beberapa ketika, pesakit kelihatan lega, kemudian memberitahu saya bahawa 'itulah kal pertama beliau dapat meminum air ruqyah sehingga habis segelas air yang penuh' wallahu'alam. Tiada sesi dialog dengan jin pada hari itu. Saya menghentikan rawatan dengan memberi pesakit ingatan mengenai amalan-amalan yang boleh membentengi diri daripada gangguan jin.

Alhamdulillah, pesakit lebih tenang dan ceria. InsyaAllah jika ada kesempatan, rawatan susulan akan dilakukan jika perlu. Saya mendoakan agar semua pesakit yang dirawat mendapat kesembuhan. Amin ya rabb.

Selasa, 7 September 2010

MISI RAWATAN DI PASIR MAS, KELANTAN.

Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi, kerana dengan limpah KurniaNya, sekali lagi saya dapat menulis dan menambah ruangan pengalaman rawatan ini. Setelah sekian lama tidak bersua bersama pembaca budiman, akhirnya pada kali ini saya diberi kekuatan untuk berkongsi sedikit lagi pengalaman merawat.

sebenarnya, sebelum ini telah banyak sesi rawatan yang saya lakukan bersama sahabat di sini malah tidak kurang juga semasa berada di kampung halaman. Namun, saya hanya ingin kongsikan pengalaman yang terbaru saya ketika melakukan rawatan di Kelantan.

Rezeki ada di mana-mana. Allah jua yang menentukan segala-galanya. Sungguh tidak saya menyangkakan bahawa saya berpeluang menjejak kaki ke negeri Serambi Mekah ini. selama lebih kurang 5 hari saya berada di Kelantan untuk merawat seorang ayah kepada kawan seperjuangan.

sesi rawatan berjalan seperti biasa, alhamdulillah di bulan puasa ini gangguan mudah diselesaikan dengan izin Allah S.W.T.. Layanan mesra tuan rumah itu sendiri memberikan saya satu suasana mesra dan gembira. Selama 5 hari berada di Pasir Mas, ssaya berasa amat senang hati. Menunaikan solat terawih berjemaah dengan penduduk kampung sesuatu yang bermakna bagi saya. Begitu juga dengan aktiviti berbuka puasa bersama penduduk kampung. Langkah kanan, aktiviti berbka puasa bersama penduduk kampung dilakukan pada hari pertama ketibaan saya di Kelantan. Alhamdulillah.

Berbalik semula kepada rawatan. Selain daripada merawat ayah kawan saya itu, saya juga berkesempatan untuk melakukan 'scan' ke atas dua lagi pesakit yang disyaki. Alhamdulillah, pesakit pertama tiada tanda-tanda gangguan, namun pesakit yang kedua memiliki tanda-tanda gangguan. Namun keterbatasan masa saya berada di sana menyebabkan saya hanya sempat untuk menyediakan air Ruqyah dan air mandian untuk pesakit. InsyaAllah jika Allah mengizinkan lagi, saya akan ke Kelantan untuk misi kedua selepas bulan Ramadhan.