Sabtu, 23 Oktober 2010

Teknik Ruqyah Dan Sembelih

Assalammualaikum wbt..
Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T., kerana dengan limpah kurnianya, saya berpeluang lagi untuk menambah penulisan mengenai pengalaman merawat.(Walaupun saya sibuk dengan tugasan akademik, untuk menamatkan tugasan bertulis di akhir semester pengajian di UPSI).

Semalam, hari yang cukup letih, mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Ust Abi Shahid dengan tajuk Explorasi Rawatan Islam. Sesi ceramah diakhiri dengan sesi 'scan' pelajar. Selepas membuat ikrar pemutus dan membacakan beberapa ayat ruqyah, 4 pesakit kerasukan.

Saya melakukan rawatan terhadap seorang pesakit, manakala Ust. Shahid merawat 3 pesakit yang lain.

Rawatan kali ini, saya tidak banyak menggunakan kedah dialog, sekadar bertanya soalan penting dan meminta jin keluar daripada tubuh pesakit. Jin degil,saya meneruskan bacaan ruqyah dengan tartil. Jin meraung kesakitan. Selepas menggunakan teknik 'racun jin', saya menggunakan teknik pancung, jin bertambah kesakitan. saya bertanya lagi, sama ada jin ingin keluar atau ingin terus diazab dengan ayat-ayat Allah. Jin masih berdegil walaupun ikatan dan kunci telah dibuka.

Sebentar kemudian, saya membacakan ayat azab pada sehelai serban, kemudian memukul badan pesakit pada kadar perlahan dengan niat memukul keras jin yang ada di dalam badan. Pesakit (jin) hampir rebah ke lantai kerana tidak dapat menanggung azab Allah.

akhir sekali, bila diplomasi, dakwah, dan pujukan jin tidak endahkan, saya memohon kepada Allah untuk meneruskan rawatan dengan menggunakan teknik 'sembelih'. Sambil membaca ayat azab, saya menggunakan besi rawatan menyembelih jin. Dengan izin Allah, jin itu mati, kemudian pesakit sedar semula dalam keadaan terpinga-pinga. saya meminta perawat muslimah menguruskan hal yang selebihnya.
Wallahu'alam.

(*semua pengalaman ini sekadar perkongsian, jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik-teknik rawatan, sila hadiri mana-mana kursus rawatan Islam yang dianjurkan, sebagai peringatan kepada diri saya dan juga orang lain, kita hanya merawat, kesembuhan adalah milik Allah S.W.T sepenuhnya. Berdoa pada Allah diberi keizinan menggunakan teknik,doakan kesembuhan kepada pesakit,doa dipermudahkan urusan semasa merawat, ingat dalam merawat, Allah akan turunkan bermacam-macam ujian, jangan mudah putus asa, mohon ilham daripada Allah S.W.T dengan mengerjakan solat sunat hajat. InsyaAllah, jika rawatan tidak selesai pada hari ini, esok atau lusa, mungkin tulat Allah akan beri keizinan untuk selesaikan rawatan).

Selasa, 19 Oktober 2010

Rawatan Terhadap Pesakit Yang Mendapat Gangguan Jin Asyik

Assalammualaikum w.b.t..
Allhamdulillah, sekali lagi saya berpeluang berkongsi pengalaman merawat pesakit gangguan jin. Tepat jam 1.45 pagi, saya mendapat satu panggilan kecemasan daripada seorang perawat junior di kolej kediaman ini. 'Z' bukan nama sebenar memberitahu bahawa pesakit kena sampuk. Kemudian saya memberikan 'Z' untuk menggunakan beberapa teknik untuk mengeluarkan jin daripada tubuh pesakit. Percubaan demi percubaan, 'Z' akhirnya meminta saya turun padang. Saya tanpa melengahkan masa, datang untuk melihat keadaan.

Rawatan yang ringkas, saya tidak banyak berdialog dengan jin, saya membakar jin dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Jin meraung dan menjerit kesakitan. Kesakitan demi kesakitan yang diterima menyebabkan jin berkata bahawa dia menyukai pesakit. Saya telah menanyakan agama jin, jin tidak mempunyai agama. Saya menawarkan Islam dengan memberikan penerangan mengenai Islam kepada jin. Namun jin menolak Islam. Kemudian saya menawarkannya pasangan baru dan rumah baru. Alhamdulillah, jin menerima tawaran itu, lantas saya mengangkat tangan berdoa memohon daripada Allah diturunkan jin perempuan yang sesuai untuk jin ini dan sebuah rumah tempat jin ini tinggal. Jin tersenyum melihat jin (pasangan baru) yang Allah kurniakan kepadanya. Jin tanpa berlengah keluar dari tubuh pesakit. Wallahualam.

Alhamdulillah.

Selasa, 5 Oktober 2010

SAKA 7 PUTERI DAN 77 JIN SIHIR..

Salam..
Alhamdulillah, hari ini saya diberi lagi sedikit kekuatan untuk menambah pengalaman merawat gangguan jin. Kali ini, kes berlaku di salah sebuah unit kediaman luar kampus berdekatan kolej kediaman saya. Pesakit sebenarnya telah pun tidak sedarkan diri sebelum masuk waktu maghrib. Saya berkesempatan melihat situasi, namun seruan Allah saya utamakan.

Selepas solat maghrib berjemaah, saya meminta seorang lagi rakan perawat untuk membantu. Ternyata, jin yang ada pada tubuh pesakit sangat degil. Rawatan terhenti di situ kerana da urusan akademik yang perlu diselesaikan. Namun, hanya seketika, saya mendapat satu panggilan kecemasan. Panggilan daripada rakan perawat muslimah. Saya sudah mengagak, pesakit itu adalah pesakit yang sebentar tadi saya rawat.(sebelum ini pesakit pernah dirawat oleh dua orang perawat senior).

‘scanning’ demi ‘scanning’, jin tidak mahu berdialog dalam apa jua bentuk keadaan. Badan yang terasa letih menyebabkan saya meminta dua lagi rakan perawat datang. Alhamdulillah, dalam beberapa ketika membaca ruqyah dan melakukan beberapa teknik, ucapan salam saya disambut oleh jin. Seketika berbicara, akhirnya saya dan rakan perawat tahu banyak perkara yang perlu kami ketahui. Salah satunya, jin itu adalah jin saka 7 puteri yang datangnya daripada Indonesia. Manakala jin sihir yang dihantar ada 77ekor di dalam tubuh, kesemuanya memiliki perisai.

Sejurus kemudian, saya meminta rakan perawat membaca ruqyah untuk memecahkan dinding sihir. Namun tidak memberi kesan. Jin saka pun tidak dapat melawan jin sihir yang banyak bilangannya. Oleh itu, jin saka meminta bantuan saya dan rakan-rakan untuk melepaskan ikatan jin sihir kemudian jin saka akan keluar. Saya tanpa berfikir panjang, meminta 3 rakan perawat untuk meruqyah, membakar jin sihir serta menariknya keluar. Alhamdulillah, dengan ilham yang Allah kurniakan, teknik memecahkan perisai sihir dan membuka ikatan sihir dengan cara membaca ruqyah berjemaah berkesan. Pesakit sedar semula dalam keadaan terpinga-pinga. Namun saya dan rakan-rakan menenteramkan pesakit. Kemudian memberikan sedikit tazkirah dan amalan-amalan pembenteng untuk pesakit amalkan. Sebelum meninggalkan rumah pesakit (sebenarnya rumah staff) saya membekalkan pesakit air ruqyah untuk diminum dan mandi.

Terima kasih kepada rakan-rakan perawat min (Saiful, Khalid, Amirul, Syukri) dan perawat mat (Zurin dan Zulaikha). Moga Allah memberkati perjuangan kita ini. Amin.