Selasa, 27 Oktober 2009

Hati Jasad Terpenting Manusia...


Satu ketika, selepas mengerjakan solat subuh berjemaah di surau, saya mengerjakan pula Wirid di dalam bilik sendiri. Selesai mengerjakan ‘wirid’, terdetik di dalam fikiran ini mengenai sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, yakni:

Sesungguhnya di dalam diri manusia ada sebuah jasad,
Jika ia baik, akan baik seluruh amal manusia,
Jika ia rosak, akan rosaklah seluruh amalnya.
Ketahuilah ia adalah HATI.


Bertitik tolak daripada petikan hadis itu, saya banyak berfikir dan mendalami jiwa sendiri. Hati kita ini bagi saya merupakan salah satu ciptaan yang tidak ternilai harganya. Kerana ‘seketul jasad kecil’ kita dapat merasakan banyak perkara. Tidak perlulah melihat jauh, apabila kita sedih, hati akan memberi tindakbalas terlebih dahulu, kemudian air mata jatuh hanya apabila hati mentafsirkan sesuatu itu sebagai ‘sedih’. Dan apabila kita gembira, hati akan menafsirkan kegembiraan itu, kemudian barulah senyum atau tawa terukir di wajah.

Masih segar lagi di dalam ingatanku jika mempersoalkan tentang hati. Pada satu masa di waktu senja, ada seorang hamba Allah duduk semeja dengan saya bersama beberapa rakan serumah di kolej kediaman tempat saya tinggal. Pelbagai peringatan yang telah diberikan. Namun di sepanjang peringatan itu, satu analogi mengenai hati yang membuatkan saya berfikir jauh mengenainya. Hamba Allah ini berkata kepada kawan karib serumah, namun saya juga dapat menggambarkan terhadap apa yang diperkatakan mengenai analogi itu. Hamba Allah ini berpesan bahawa ‘hati itu sama seperti suis utama di dalam sebuah rumah, rumah umpama badan kita, dan suis itu diibaratkan sebagai hati, jika suis itu rosak, seluruh rumah akan gelap dan tidak berfungsi perkakas elektriknya, tetapi, jika hanya lampu atau kipas yang rosak, boleh diperbaiki dengan segera dan tidak merosakkan suis utama’.

Berdasarkan kata-kata itu, saya menyelami maknanya yang cukup tersirat dan memberi kesan kepada diri. Kebenaran kata-kata itu dapat dilihat mahupun dirasai. Hati boleh diandaikan seperti sebuah suis utama di dalam rumah. Jika ‘hati’ rosak, maka rosak juga perkakas yang lain di ‘rumah’ itu (tubuh). Jika, hati kita menerima gangguan, misalnya kesedihan, kesedihan itu bertukar menjadikan emosi kita tidak stabil, kemungkinan menjadi murung, tidak tenteram atau lemah semangat diri.

Kata-kata itu, mungkin tidak memberi kesan sepenuhnya di hati, tetapi berdasarkan pengalaman yang melibatkan diri sendiri dan juga melalui pemerhatian, pesanan daripada hamba Allah itu ada kebenarannya.

Saya ada seorang rakan sebaya. Hidupnya sejak akhir-akhir ini tidak tenteram. Seakan-akan mempunyai tekanan. Serba salah dalam banyak tindakan dan perlakuan sendiri. Sedangkan, dia sujud menyembah Allah pada waktu wajib menunaikannya. Dia juga kerap memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran melalui computer riba miliknya. Namun, amalan-amalan itu seperti tidak memberi kesan pada dirinya. Ada saja yang serba tidak kena.

Adakalanya, aku sendiri pun tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku pada diri kawan karib ini. jika diukur tahap pembelajarannya, sudah pasti ‘ok’. Dan jika pelajaran bagus, mesti saja dia tidak gila atau terencat akal. Malah memiliki ketajaman akal yang baik. Dari pemerhatian selama satu semester, saya menyedari, jiwanya sedang diselaputi kekeliruan. Kekeliruan itu tidak lai tidak bukan, tersimpan di dalam hati kecilnya.

Alhamdulillah, azam di hatinya kini semakin bertambah beberapa peratus. Saya menyedari perubahan itu. Saya sendiri sering menziarahi kawan karib ini untuk mendekati dan berkongsi sedikit ilmu Allah yang dipelajari. Saya mendoakan agar kawan karib saya ini akan menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa mengingati Allah walau dalam apa jua keadaan dan semoga dimurahkan rezekinya. Amin.

berpandukan pemerhatian dan pengalaman serta nasihat daripada Hamba Allah itu tadi, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri serta pembaca budiman agar peliharalah hati sebaik-baiknya. Malas atau rajinnya kita mengerjakan perintah Allah bermula dari dalam hati. Aazamlah di dalam hati untuk tidak menambah 'titik hitam' di dalam hati yang Allah ciptakan dengan sejuta kepentingan dan hikmah. Semoga Allah memberi kekuatan hati kepada pembaca-pembaca budiman untuk sentiasa mengingati-Nya dalam apa juga situasi seharian.Amin. wallahu'alam.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Salam Perkenalan..

assalammualaikum,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang sudi menjenguk ruangan blog yang tidak seberapa ini. Untuk makluman pembaca yang budiman, segala hasil penulisan yang saya hasilkan di dalam blog ini adalah daripada sumber yang asli dan berdasarkan bukti yang benar. seandainya terdapat fakta atau isi yang melampaui atau menyinggung sila respon secepat mungkin agar saya dapat mengambil tindakan yang wajar untuk maklumat yang salah atau tersilap.

secara keseluruhannya, penulisan dalam blog ini saya cenderung menggarapkan pelbagai cabang ilmu agama untuk ratapan bersama, tanpa mengira peringkat usia mahupun lapisan masyarakat. Ruangan ini juga bakal menyajikan para pembaca dengan pelbagai informasi terbaru yang akan diketengahkan dari masa ke masa.

Harapan saya kepada semua pembaca, agar menyebarkan ilmu yang tercatat di ruangan ini nanti. Seperti yang saudara/saudari maklum, ilmu hanya akan 'hidup' jika kita mengamalkan dan menyampaikannya dengan ikhlas. Semoga apa yang saya dan pembaca budiman lakukan akan mendapat berkat daripada Allah S.W.T. InsyaAllah.