Selasa, 26 Januari 2010

Saka,Asyik&Sihir...

Alhamdulillah, syukur kepadaNya, kerana, baru sebentar tadi, saya melakukan sesi rawatan terhadap seorang pesakit. Selepas melakukan 'scan' menggunakan teknik '1881', pesakit kerasukan. Saya hanya tanya beberapa soalan, bilangan jin, dan jenis jin. Dalam tubuh pesakit, terdapat tiga jenis jin, saka, asyik dan sihir. saya memulakan dengan mengeluarkan jin sihir, sebelum meneruskan rawatan, bilik dan juga pesakit telah saya blok untuk tujuan tidak di masuki oleh mana-mana jin lagi.

Jin sihir melebihi 100 di dalam badan, ada yang ingin keluar setelah 'ikatan' dirungkaikan, ada pula yang berdegil untuk terus tinggal di situ. Jin sihir yang ingin keluar saya terus pindahkan ke tempat lain. Jin yang tinggal berkurang menjadi separuh lagi daripada jumlah asal. setelah melakukan diplomasi, saya terpaksa menggunakan kekerasan. Saya memberi sedikit siksaan kepada mereka dengan izin Allah mereka kesakitan.

Untuk tidak membuang masa, saya menyuruh jin saka memanggil 'ketua' jin sihir yang ada di dalam badan pesakit. Alhamdulillah ketua jin keluar dan berdialog dengan saya. Saya telah berdiplomasi, dan menawarkan rumah baru, kesembuhan dan dihantar ke tempat yang tidak dapat dicari oleh tuannya lagi. Namun, yang menyayat hati saya apabila, jin-jin sihir ini tidak mahu keluar dan rela disembelih. Saya tiada pilihan, ikatan telah dibuka, dan mereka tidak mahu keluar. Saya menyembelih ketua jin bersama anak-anak buahnya.

Jin asyik pula lain ceritanya, jin ini boleh dibawa berdiplomasi, saya memohon pada Allah agar hatinya dilembutkan untuk menerima pasangan baru yang sama keturunan, dan memberitahu bahawa pilihan Allah adalah yang paling tepat. Saya memberikan masa untuk jin ini berfikir terhadap tawaran saya itu, alhamdulillah, dengan izin Allah, jin ini bersetuju untuk bersama-sama dengan pasangan yang berasal dari keturunan jin. Saya menadah tangan kepada Allah dan memohon agar Allah menurunkan jin betina untuk jin ini. Dengan kekuasaanNya, jin itu melihat jin betina dan kemudian keluar daripada tubuh pesakit. Alhamdulillah.

Selesai mengeluarkan jin asyik, jin saka juga turut lesap. Kemudian, saya membuat 'blok' kepada pesakit agar pesakit tidak dimasuki jin lagi. Saya juga memohon kepada Allah agar pesakit diberi kesembuhan. InsyaAllah.

Kepada pembaca budiman, marilah bersama-sama meningkatkan amal, menjaga iman, dan bertaqwa, sesungguhnya Allah menjanjikan syurga bagi hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya. InsyaAllah.

Tiada ulasan: