Sabtu, 2 Januari 2010

Jin bertelinga besar dan merah..

Assalammualaikum w.b.t.

Sekian lama tidak mengemaskini blog ini, Alhamdulillah dengan izin Allah dan sedikit kekuatan yang diberikan, saya sekali lagi dapat menambah koleksi penulisan di ruangan yang tidak seberapa ini. hampir sebulan juga saya berada di kampung halaman yang menyajikan saya dengan seribu satu kenikmatan dan ketenangan berada dalam suasana kampung.
Baiklah, kembali kepada cerita jin bertelinga besar dan merah.

Satu masa, selepas menunaikan solat jumaat, yakni saya diberi amanah menjadi bilal ketika itu seorang ustaz bertemu dengan saya dan mengajak saya serta adik saya untuk bertandang ke rumah beliau. Tanpa melengahkan masa, kami segera mengikuti beliau ke rumahnya yang hanya bersebelahan dengan masjid tempat kami menunaikan solat sebentar tadi.

Ustaz ini merupakan imam utama di kampung itu, malah beliau merupakan seorang ustaz di beberapa buah sekolah sebelum bersara. Sebelum ini, beliau pernah melakukan rawatan dengan hamba Allah yang tidak dinyatakan namanya, dan Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit pelik beliau sembuh. Beliau menyatakan bahawa hamba Allah yang memberi rawatan itu telah menemui barang sihir di bawah tangga rumah beliau. Secara kesimpulan kecilnya, beliau dirawat kerana terkena sihir.

Namun, pertemuan singkat dengan saya pada ketika itu, beliau menyatakan bahawa beliau ingin menghilangkan saka yang ada padanya. Saya berfikir seketika, kemudian menanyakan beberapa soalan pada beliau. Antaranya, tanda-tanda ketika tidur dan ketika jaga. Berdasarkan petanda-petanda itu, memang beliau berisiko memiliki saka. Namun, selepas itu, saya memberitahu bahawa saka sukar untuk dirawat. Rawatan memerlukan masa dan berperingkat-peringkat. Kerana kebanyakan jin saka datang pada masa-masa tertentu sahaja. Melainkan dalam keadaan tertentu, misalnya si pesakit terkena sihir, kemungkinan jin saka akan hadir bersama, biasanya cuba melindungi tuannya.

Pelbagai penerangan yang saya berikan mengenai saka termasuk cara berpindah dan kehadiran dalam diri seseorang. Kemudian saya melakukan ‘scan’ ke atas diri beliau.

Terdapat beberapa teknik yang boleh dilakukan, namun pada hari tersebut Allah mengilhamkan saya untuk menggunakan teknik melihat ‘tapak tangan’. Sebelum sesi scan dimulakan, saya membacakan ruqyah pada segelas air untuk diminumkan. Namun tiada apa-apa reaksi yang ditunjukkan beliau. Sebentar kemudian saya membacakan bebrapa ayat suci dan meniupkan pada tapak tangan, kemudian meminta beliau melihat ke tapak tangan saya. Dengan izin Allah, beliau heran dan memberitahu bahawa beliau terlihat warna biru pada tapak tangan saya. Kewujudan warna itu menguatkan saya bahawa ustaz ini mempunyai jin pada batang tubuhnya.

Teknik ruqyah melalui bacaan pada telinga nampaknya kurang berkesan, kerana beliau hanya bertindakbalas sedikit sahaja. Kemudian, saya menggunakan teknik TKR. Beliau bersedia untuk sesi itu. Dengan membaca beberapa potongan ayat suci al-Quran dalam keadaan menutup mata, saya membacakan ayat tertentu dan menyuruh beliau membayangkan bahawa diri beliau berada di dalam tubuh sendiri. Bermula daripada bahagian kepala, kemudian kebahagian dada. Tiba-tiba beliau terkejut kerana melihat sesuatu bersembunyi di sebalik hatinya sendiri. Ada seekor jin yang mempunyai telinga yang besar dan berwarna merah. Kemudian saya meminta beliau menadah tangan dan membacakan ayat untuk membakar jin itu, pada percubaan pertama jin itu semakin membesar, dan dengan itu saya memohon pada Allah untuk menggandakan api dengan iringan potongan ayat suci.

Jin itu kemudiaanya hilang, dan berpindah ke atas kepala. Kali ini beliau melihat seluruhnya gelap angkara jin tersebut. Sekali lagi, saya memohon pada Allah untuk menghujankan jarum-jarum yang banyak kepada jin itu. Alhamdulillah, kegelapan di atas kepala beliau berubah menjadi terang.

Selesai sesi itu, beliau mengucapkan syukur kerana badan beliau terasa lebih ringan dan cergas. Saya juga berterima kasih kepada beliau kerana meng galakkan kepada saya untuk mendalami ilmu rawatan islam.
Walaupun demikian, kes saka yang menghantui beliau belum selesai. insyaAllah dalam masa yang terdekat ini, saya berusaha sekadar yang termampu untuk merawat beliau. insyaAllah.

Tiada ulasan: